Kajian Kes Penggunaan E-Book di sekolah di daerah Kuala Terengganu

Pengenalan

Dalam kepelbagaian pembacaan dan penggunaan, pembacaaan melalui aplikasi intrusksi e-book tidak banyak bezanya dengan pembacaan melalui buku yang dicetak. Penggunaan ebook di dalam kelas adalah aplikasi teknologi yang terbaik. Tidak kira apa juga platform yang digunakan untuk membaca e-book samaada handheld, komputer riba, komputer meja, kalkulator graphing, telefon bimbit ataupun pemain MP3, aplikasi ini sudah berada disekeliling kita sekarang dan kita perlu memanfaatkan sebaiknya teknologi ini (Cavanaugh,2006).

E-book yang pertama telah dicipta apabila manusia mula menggunakan sumber-sumber berbentuk elektronik seperti pemprosessan perkataan untuk mencipta dan menyimpan maklumat, Buku elektronik atau e-book adalah alatan komputer mudah alih yang direka untuk memudahkan penyimpanan dan paparan bahan pembacaan. E-book menyediakan pelbagai ciri yang membuatkan ianya sesuai untuk tugas sebenarnya seperti rekabentuk yang ringan, mudah untuk digunakan, berkebolehan untuk menyimpan bahan yang banyak dan mempunyai skrin backlit yang berkualiti tinggi untuk keselesaan pembacaan di setiap situasi pencahayaan.

Menurut Nelson(2008), e-book adalah buku elektronik yang boleh dibaca secara digital pada skrin komputer, alat pembaca e-book yang tertentu, personal digital assistant (PDA) atau telefon bimbit dan dalam erti kata lain, e-book digunakan pada skrin dan bukannya di kertas. E-book mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding buku bercetak. Antara kelebihan tersebut adalah, e-book boleh mengeluarkan penanda buku atau bookmark yang membenarkan pengguna terus kepada muka surat yang ditandai apabila membuka buku tersebut. Selain itu, adalah tidak mustahil untuk mencipta e-book yang sama kandungannya dengan buku yang dicetak iaitu dengan menggunakan kaedah mengimbas serta salinan PDF buku yang sedia dicetak itu dan seperti buku cetakan, e-book juga mempuyai gambar atau carta, indeks dan isi kandungan (Nelson, 2008).

Peluang untuk membawa sesuatu yang baru ke dalam bilik darjah amat dinantikan. Para pendidik berusaha mencari teknologi yang mudah digunakan, mudah diakses dan menarik minat pelajar sementara teknologi pula menyokong pekerja yang berusaha dalam mengekalkan teknologi yang mampu milik dan boleh dipercayai (Sowers, 2008). Di Malaysia, penggunaan e-book di kalangan pelajar masih belum meluas tetapi bermula tahun 2009, kerajaan negeri Terengganu telah mula mengaplikasikan e-book dalam pembelajaran pelajar sekolah rendah.

Latar belakang kajian

Bermula Mei 2009, kerajaan negeri Terengganu telah mengedarkan sebanyak 23000 unit komputer secara berperingkat. Komputer yang digunakan iaitu netbook dijadikan sebagai alat untuk membaca e-book yang mana kerajaan turut melihat projek e-Book di sekolah-sekolah Terengganu sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid (Bernama, 2009). Sower (2008) berpendapat, pada masa manusia berbangga dengan teknologi yang ada sekarang, mengapa pelajar masih perlu membawa buku teks yang berat sedangkan alatan handheld dapat menyediakan maklumat yang sama? Alatan pembaca atau platform e-book ini akan dapat membaca pelbagai format e-book seperti Html/Xml, Text, Adobe Acrobat Reader, Microsoft Reader dan Palm Reader dengan menggunakan platform Windows atau Macintosh (Cavanaugh,2008). Dengan adanya alat membaca e-book dengan format yang sesuai, kaedah pembacaan pelajar akan dapat di pertingkatkan. Menurut Cavanaugh (2008), untuk membantu pelajar dalam membaca dengan lancar, pendidik perlu menyedia dan memantau pembacaan secara lisan dan untuk mencapai tujuan ini, pendidik perlu membantu pelajar dalam meningkatkan latihan melalui teknologi yang ada dan e-book dilihat adalah aplikasi yang terbaik.

Penglibatan guru dalam menggabungkan penggunaan teknologi dengan pengajaran mereka dilihat masih kurang dalam pendidikan kita pada hari ini. Kebanyakkan mereka masih berada ditahap ‘perlu belajar’ dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Guru perlu menjadi lebih kreatif dengan adanya penggunaan teknologi seperti e-book di sekolah. Pelbagai teknik pembelajaran boleh dilakukan menggunakan e-book tersebut contohnya, guru mencipta perisian pembelajaran yang interkatif untuk pelajar, berkongsi nota silibus dalam format ppt atau pdf, melakukan sidang video, pembelajaran melalui audio dan pelbagai lagi. Teknologi ini sebenarnya membantu para guru sebagai alat bantu pengajaran di dalam bilik darjah. Penting bagi guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat setempat.

Isu yang sering kedengaran sekarang adalah penyalahgunaan e-book yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. Pemantau penggunaan e-book dalam kalangan pelajar juga perlu dilakukan dan ini menjadi tanggungjawab guru dan ibu bapa dalam mendidik dan mencorakkan pelajar dalam mengendalikan alatan yang mereka terima. Penyalahgunaan e-book tersebut akan memberi kesan pembelajaran pelajar-pelajar ini dan seterusnya sekolah yang terbabit.

Metodologi

Peserta

Pelajar tahun lima sekolah rendah di daerah Kuala Terengganu telah dipilih sebagai responden bagi temubual yang dijalankan. Pelajar-pelajar ini terbahagi kepada dua kelas yang berlainan. Setiap daripada mereka mempunyai e-book yang di sediakan oleh jabatan pendidikan negeri dan mereka mempunyai pengalaman dalam menggunakan komputer. Seorang guru yang mengajar mata pelajaran sains dan bahasa Malaysia, seorang EIO (Executive Information Officer) dan guru besar sekolah juga terlibat dalam temubual berkenaan. Selain itu, temubual bersama EIO dari sekolah yang berlainan di jalankan lebih awal menggunakan Yahoo! Messenger.

Bahan

Kajian memfokuskan kepada penggunaan komputer yang dibekalkan kepada pelajar dengan aplikasi e-book didalamnya. E-book tersebut mengandungi silibus setiap matapelajaran bermula dari tahun empat sehingga tahun enam. Kandungan silibus e-book adalah sama dengan kandungan buku teks kerana kandungan itu di imbas berdasarkan buku teks. Kandungan tersebut dikumpul dan dipersembahkan dalam bentuk perisian pembelajaran. Komputer riba mini atau netbook yang dibekalkan turut mengandungi bahan lain seperti Microsoft Office, Al-Quran digital, kamus, perisian audio dan video, permainan dan lain-lain yang mana sebahagian daripadanya telah di masukkan sendiri oleh pelajar-pelajar berkenaan.

Prosedur

Kaedah temubual dan pemerhatian telah dijalankan dalam kajian ini. Pelajar diminta untuk membuka komputer mini masing-masing dan diminta melakukan sebarang kerja pada komputer berkenaan. Pengkaji menjalankan kaedah tembual dan pemerhatian sewaktu di dalam kelas tersebut. Seorang guru telah di temubual mengenai penggunaan aplikasi e-book di kelasnya. Seorang EIO menemani pengkaji selama berada di sekolah dan temubual juga telah dilakukan bersamanya. Pandangan dari guru besar sekolah juga dicatatkan. Temubual yang dijalankan direkod menggunakan perakam suara di telefon bimbit Sony Ericsson dan mengambil gambar menggunakan kamera digital.

Keputusan

Berdasarkan temubual yang dijalankan bersama beberapa orang pelajar, mereka gembira dan berasa seronok dibekalkan dengan netbook yang mengandungi e-book ini. Kebanyakkan daripada mereka menyukai cara pembelajaran menggunakan aplikasi e-book namun terdapat beberapa pelajar yang masih gemar dengan cara pembelajaran menggunakan buku teks. Alasan yang mereka berikan adalah mereka boleh menulis dan membelek – belek buku tersebut dan bagi mereka kaedah itu lebih menyeronokkan. Pengaruh netbook ini adalah besar kepada pelajar-pelajar tahun lima ini. Ini kerana berdasarkan daripada temuramah yang dijalankan, pelajar-pelajar ini akan menggunakannya jika mempunyai masa terluang di rumah ataupun di sekolah.

Temubual yang dijalankan mendapati aplikasi yang biasa mereka gunakan adalah e-book sebagai aplikasi utama. Selain itu, mereka menggunakan netbook tersebut untuk bermain permainan komputer, mengedit gambar, melayari internet, membaca dan mendengar Al-Quran dan doa, menaip menggunakan Microsoft Office dan menggunakan kamus. Kebiasaannya jika di dalam kelas, mereka melayari internet untuk mendapatkan soalan latihan secara atas talian iaitu Zoom A dan soalan yang disediakan oleh pembekal e-book iaitu T-Score. Namun, oleh kerana kesukaran kepada capaian intenet, maka pelajar-pelajar ini tidak dapat melakukan latihan yang disediakan. Pada masa sekarang, pembekal telah membuat inisiatif baru dengan mengeluarkan satu latihan T-Score secara offline. Dengan itu, EIO di sekolah berkenaan akan memasukkan latihan tersebut ke dalam netbook para pelajar secara berperingkat agar mereka dapat menggunakan aplikasi berkenaan. Untuk menggunakan netbook pada waktu persekolahan, pelajar perlu mengecas bateri netbook tersebut sebelum datang ke sekolah dan masalah akan berlaku sekiranya bateri netbook tersebut tidak dapat bertahan dengan lama.

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, pelajar lebih gemar menggunakan aplikasi yang lain berbanding membaca kandungan e-book. Sebaik sahaja membuka netbook tersebut, sesetengah daripada mereka akan terus membuka aplikasi permainan yang ada di dalam thumb drive merka dan membuka aplikasi video dan audio. Sepanjang berada bersama mereka, mereka kelihatan seronok ketika menggunakan aplikasi yang terdapat di dalam netbook mereka. Namun, masih terdapat pelajar yang kurang berminat dan hanya melihat rakan-rakan mereka menggunakan netbook tersebut. Selain itu, mereka juga di lihat mahir dalam mengendalikan netbook masing-masing terutamanya aplikasi e-book tersebut.

Menurut guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Malaysia dan Sains yang di temubual, pemberian netbook kepada pelajar-pelajar ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan yang dapat dilihat adalah terdapat pelajar-pelajar yang sebelum ini tidak tahu cara mengendalikan komputer, kini mereka sudah pandai dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran ini. Mereka dilihat sudah pandai dalam membina carta menggunakan perisian pemprosessan perkataan dan sudah pandai menaip menggunakan papan kekunci. Guru tersebut juga mengatakan latihan T-Score yang disediakan juga baik untuk pelajar-pelajar ini yang mana ianya meliputi kandungan silibus pembelajaran. Walaupun akses kepada internet amat terhad, namun latihan T-Score yang disediakan amat bagus. Guru ini berharap agar T-Score secara offline dapat dilaksanakan dengan kadar secepat yang mungkin.

Selain kelebihan tersebut, terdapat kelemahan yang masih menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah bagi pelajar tahun lima ini. Menurut guru ini, pelajar lebih gemar bermain permainan komputer semasa di dalam kelas. Kadang-kadang jika di tegur, mereka akan berhenti bermain, namun akan menyambung semula tidak lama selepas itu. Guru ini juga mengatakan akses kepada internet adalah terhad dan pelajar tidak dibenarkan menggunakannya. Selain itu, pada netbook tersebut, tiada latihan secara offline untuk pembelajaran disediakan, maka penggunaan kertas dan pensil masih diperlukan. Dari segi penerimaan ibu bapa, guru ini masih tidak mendapat sebarang maklum balas. Namun terdapat keadaan dimana, sebilangan pelajar tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan alasan yang diutarakan adalah ibu mereka tidak membenarkan mereka membuka netbook di rumah masing-masing. Guru ini juga kesal dengan sikap sesetengah pelajar tidak menggunakan kemudahan yang diberikan dengan sebaiknya.

Menurut EIO yang bertugas di sekolah berkenaan, tugas utama yang perlu dilakukan olehnya adalah mengurus, menjaga, dan meyelenggara e-book dan peralatannya mengikut jadual yang dirancang, memuat turun dan mengemaskini perisian antivirus yang dibenarkan di e-book dan memastikan ia dikemaskini secara berjadual dan menyelia serta membuat pemantauan terhadap program-program yang di muat turun di e-book oleh pelajar secara berkala. Selain itu, menurut beliau, setiap hari akan terdapat aduan mengenai kerosakan pada netbook para pelajar dan netbook tersebut perlu di format atau di baiki. Terdapat juga sebilangan kecil guru yang tidak mengaplikasikan e-book dalam pembelajaran kerana mereka kurang mahir dan tidak berkebolehan dalam menggunakan aplikasi e-book. Penggunaan e-book di dalam kelas tidak berjadual. Semuanya mengikut kehendak guru terbabit dan terdapat juga guru melarang penggunaan e-book. Ini disebabkan guru terbabit sukar mengawal perhatian pelajar dan kesukaran penggunaan e-book tersebut.

Perbincangan bersama guru besar sekolah juga diadakan. Menurut guru besar, peningkatan akan dilakukan dari masa ke semasa. Latihan kepada guru juga akan diberikan dan pengaplikasian e-book secara menyeluruh akan dilaksanakan setelah beberapa perkara yang menjadi masalah pada masa sekarang dapat diselesaikan terlebih dahulu. Guru besar sekolah juga berpendapat perlunya akses internet yang lancar agar pelajar-pelajar ini mendapat input yang berguna untuk pembelajaran mereka.

Perbincangan dan Kesimpulan

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Sowers (2008) menunjukkan terdapat pro dan kontra dalam mengaplikasikan e-book dalam pembelajaran. Menurutnya, alatan yang dibekalkan dalam kajiannya tahan lasak, e-book tidak memerlukan capaian internet dan semua kandungan dimasukkan ke dalam alatan dan ia dilarikan secara bebas. Walaubagaimanapun, kajian ini tidak menyokong dapatan itu, kerana netbook yang dibekalkan tidak tahan lasak dan mudah dimasuki virus dan netbook tersebut juga memerlukan capaian internet untuk mendapatkan latihan yang berkaitan. Sower (2008) juga dalam kajiannya berpendapat, alatan yang digunakan di dalam kajiannya bersifat intuitif di mana butangnya besar dan senang di kenalpasti, kawalan diletakkan di posisi yang logik untuk tujuan pembacaaan dan kawalan perisian senang difahami dan di cari. Ini selari dengan dapatan kajian iaitu dengan adanya alatan seperti netbook di sekolah, pelajar sebenarnya diberi pendedahan awal dalam mengendalikan komputer. Bagi pelajar-pelajar yang sudah mahir dalam mengendalikan komputer, maka fungsi pada netbook adalah senang digunakan.

Kebanyakkan pelajar sekolah menyukai cara pembelajaran yang baru dan mereka mudah mengaplikasikan pembelajaran mereka dengan penggunaan teknologi ini. Ini bertepatan dengan kajian Simon (2008) yang mendapati kebanyakkan pelajar (86%) mengambil masa kurang daripada 30 minit untuk belajar bagaimana untuk menyedia dan menggunakan e-book mereka dan peserta kajiannya juga mendapati e-book senang digunakan dan berfaedah untuk pembelajaran. Berdasarkan keputusan kajian pelajar-pelajar ini menumpukan perhatian kepada netbook mereka dan mereka akan menggunakan netbook jika terdapat masa yang terluang. Ini bertepatan dengan dapatan kajian Sowers (2008) yang mendapati reaksi pelajar adalah positif dimana mereka masih menginginkan lebih waktu untuk menggunakan e-book yang disediakan.

Dapatan kajian ini menunjukkan peranan guru dalam menghidupkan suasana pembelajaran cara baru ini tidak mencapai tahap yang memberangsangkan. Guru perlu menerangkan kegunaan sebenar alatan yang disediakan dan seterusnya menggunakannya untuk sesi pembelajaran. Menurut Cavanaugh (2006), ketika e-book semakin diterima, kesedaran para guru dan penggunaannya oleh pelajar tidak menunjukkan peningkatan. Guru perlu sentiasa memastikan diri bersedia dalam menggunakan aplikasi terkini dan dapat menyalurkan maklumat kepada pelajar dengan baik. Capaian internet yang baik adalah penting. Sehubungan itu, amat perlu bagi sesebuah sekolah mengadakan sistem rangkaian yang pantas agar pelajar-pelajar ini memperoleh manfaat darinya.

Secara kesimpulannya, masih terdapat banyak kelemahan yang dapat dilihat dengan jelas dalam program E-book ini. Kesedaran para pentadbir dan guru-guru adalah penting untuk mengenalpasti kelemahan yang ada seterusnya mencari jalan penyelesaian. Siri kajian lanjutan dari sudut keberkesanan penggunaan e-book terhadap prestasi pembelajaran pelajar di seluruh Terengganu perlu dilakukan dan keberkesanan pengajaran guru menggunakan e-book di dalam bilik darjah.


Rujukan

Eric J.Simon (2008). Are e-Books Ready for the Classroom?. Diakses pada 30 Ogos 2010 dari http://campustechnology.com/articles/2001/08/are-ebooks-ready-for-the-classroom.aspx

Bruce Sowers (2008). E-book in classroom – Pass or fail?. Diakses pada 30 Ogos 2010 dari http://www.ebooktechnologies.com/downloads/ebooks_in_class.pdf

Mark R.Nelson (2008). E-book in higher education:Nearing the end of the era of hype?. Diakses pada 31 Ogos 2010 dari http://www.educause.edu/EDUCAUSE+Review/EDUCAUSEReviewMagazineVolume43/EBooksinHigherEducationNearing/162677

Terence W. Cavanaugh (2006). The digital reader: using e-books in K-12 education. Washington: International Society for technology in Education. (4)

6 Response to "Kajian Kes Penggunaan E-Book di sekolah di daerah Kuala Terengganu"

  1. Encik Betul says:
    February 27, 2011 at 4:37 PM

    Salam Cik Nafaidilah Nasir,

    Saya Mohamad Razin pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda TESL dari UiTM. Untuk pengetahuan saudari, saya sedang merangka thesis saya yang melibatkan kajian keatas penggunaan e-Book dikalangan pelajar di terengganu.

    Saya telah menggunakan hasil kajian ini sebagai sumber rujukan untuk thesis saya, dan setelah menilai kembali skop kajian saya, saya masih merasakan terdapat kekurangan dari segi kajian, sumber maklumat dan akses untuk mendapatkan responden untuk kajian saya.

    Saya berharap cik Nafaidilah Nasir dapat menghubungi saya, atau maklumkan saya cara untuk menghubungi cik supaya saya dapat membuat diskusi tentang thesis saya ini. Kerjasama cik amatlah diharapkan.

    Sebarang respon dari pihak cik saya harap dapat ditujukan ke email saya, kirov_dust@yahoo.com atau ke talian 0172505510. Saya harap dapat menerima respon dari pihak cik secepat mungkin.

    Salam.

  2. Cikgu Mie says:
    June 28, 2012 at 6:46 PM

    Salam.....

    Mohon share full research daripada Cik Nafaidilah kerana saya juga dalam proses menjalankan kajian ini.
    Untuk makluman Cik Nafaidilah, saya Hilmi, pelajar Master of Education (instructional Technology) UUM. e-mail saya : cikgumie86@gmail.com

    jasa baik cikgu saya ucapkan terima kasih.

  3. Fizah spot! says:
    November 24, 2012 at 12:00 AM

    As-salam,

    Mohon Share kajian Cik Nafaidilah. Saya dalam proses membuat kajian membangunkan platform utk penyiaran ebook

    Nama sy hafizah, pelajar master of education(Resources and information technology)UKM. email saya : zanado87@gmail.com

    terima kasih saya ucapkan atas jasa baik cikgu.

  4. najwa sanusi says:
    January 13, 2013 at 11:41 PM

    salam.

    mohon share kajian Cik Nafaidilah juga kerana saya dlm proses menyiapkan kajian tindakan mengenai penggunaan e-book di kalangan murid-murid.

    nama amirah, pelajar IPG KDRI. emel najwa.sanusi7@gmail.com

  5. eDeng says:
    February 26, 2013 at 12:12 AM

    nie thesis ker paper? blh dpt tau paper apa yea? senang tuk buat citation

  6. Shajar says:
    April 8, 2013 at 10:24 PM

    alhamdulilah,semoga ebook diteliti lagi dan diberikan pendedahan yang lebih terutama kepada guru-guru dimalaysia kerana terdapat banyak kelemahan yang dapat dilihat dengan jelas dalam program E-book ini.tq for sharing

Post a Comment